REKABENTUK UNIX / LINUX

Sistem operasi adalah jambatan anda dan perisian untuk berhubung dengan komputer dan perkakasnya. Tanpa sistem operasi adalah mustahil untuk menghasilkan sebarang perisian tanpa melibatkan kod-kod yang panjang dan sukar terutama untuk berhubung dengan perkakas komputer. Sistem operasi telah membantu pembangunan dengan meringkaskan usaha ini.

Sistem operasi boleh menjadi mudah untuk dibangunkan seperti DOS atau terlalu canggih seperti OS/2 atau VMS. Unix cuba berada ditengah-tengah. Ia cuba menyediakan keperluan yang diperlukan oleh anda dan perisian tetapi cuba tidak melakukan kesemuanya.

Falsafah di belakang UNIX adalah menyediakan UNIX dalam bahagian-bahagian kecil yang tidak terikat antara satu sama lain (modular). Dengan cara ini setiap fungsi UNIX mempunyai perisiannya sendiri yang adakala dipanggil utiliti. Dengan cara ini juga setiap utiliti atau perisian dapat digabungkan untuk menghasilkan fungsi yang baru di dalam UNIX. Inilah kelebihan utama UNIX.

Reka bentuk Unix dan linux


Lakaran di atas adalah gambaran bahagian-bahagian penting di dalam UNIX. Kernel, Shell dan Aplikasi/utiliti pengguna atau arahan penggunaan.

Kernel
adalah jantung kepada UNIX dan GNU/Linux. Kernel mengawal kemasukan ke sistem komputer, menguruskan penggunaan memori komputer, menjaga sistem fail dan membuat pembahagian sumber komputer kepada pengguna dan perisian. Kernel paling banyak mempunyai kod-kod yang bergantung kepada perkakas komputer. Sama seperti fungsi CPU, fungsi kernel tidak dapat dilihat oleh pengguna.


Shell adalah perisian atau aplikasi yang menjadi alat untuk kita berhubung dengan sistem operasi. Shell akan membaca apa yang anda masukkan dan memahaminya sebagai arahan untuk menjalankan perisian lain, manipulasi fail dan memberikan output. Shell juga turut dikenali sebagai "Command Line Interface".

Terdapat pelbagai jenis shell untuk Unix/Linux. Korn shell atau POSIX shell adalah shell yang biasa dikebanyakan jenis Unix dan Linux juga memilikinya. Bash (Born again Shell) adalah shell yang biasa didapati di dalam distribusi Linux (sebab ia GNU). Kebanyakan Shell adalah mematuhi standard yang sama. Perbezaan mungkin pada fungsi logik atau tambahan fungsi.

Arahan (commands) perisian adalah satu kumpulan arahan untuk komputer. Sebagai pengguna Unix/Linux anda mempunyai pelbagai perisian, alatan dan utiliti yang boleh anda gunakan. Sama ada anda sebagai pembangun perisian yang memerlukan alatan dan utiliti, seperti gcc, make dan bison. Atau sebagai pengendali sistem yang memerlukan fsck, df ,file dan pelbagai lagi arahan. Atau sebagai pengguna biasa yang mahu menggunakan perisian dalam X, OpenOffice, vi dan pelbagai lagi. Semua arahan boleh digolongkan sebagai "programming environment", manipulasi teks, pengurusan maklumat, utiliti tambahan dan komunikasi.

Sistem fail
adalah cara bagaimana UNIX mengendalikan informasi, mendapatkan informasi dan mengendalikannya. Sistem fail juga dirujuk kepada ruang dalam cakera keras. Sistem fail utama bagi Linux adalah ext2 dan versi terbarunya ext3.

[ Kembali Ke Nota Linux ]
[ Kembali Ke Laman Utama ]

Laman ini di Internet https://linuxmalaysia.tripod.com/linuxbentuk.html

--