Make your own free website on Tripod.com

Perbandingan Harga Antara Perisian Mircosoft Dan Distribusi Linux


Laman ini di Internet http://linuxmalaysia.tripod.com/bandingharga.html
[ Home - Ke laman Utama ]

Perbandingan ini hanyalah perbandingan kasar, tanpa kajian secara terperinci. Ia merupakan satu perbandingan yang diasaskan daripada kemungkinan pandangan seorang pengguna komputer Malaysia yang perlu membuat keputusan pembelian komputer untuk syarikatnya yang kecil. Perbandingan ini tidak dikaitkan dengan sesiapa sekadar untuk rujukan peribadi dan dikongsikan dengan yang berminat.

Dalam perbandingan ini diandaikan syarikatnya akan membeli sepuluh (10) biji komputer dengan perkakas (hardware) terkini. Setiap satu dengan CPU Intel Pentium III atau setaraf dengannya atau lebih baik lagi, mempunyai fizikal memori minimum 128MB dan ruang cakera keras (hard disk) sekitar 20GB. Diandaikan juga setiap satu komputer mempunyai kad rangkaian dan disambungkan dengan "Local Area Network" (LAN) dan syarikatnya itu mempunyai akaun dengan ISP tempatan. Diandaikan Setiap pengguna komputer boleh mencapai Internet dan juga Intranet yang dibangunkan dengan pelayan laman dan mempunyai pelayan email dalam LAN sahaja. Pelayan laman (web server) dan pelayan email (email server) akan dibangunkan daripada sebuah komputer yang mungkin akan dipasang dengan sistem operasi (operating system) sama ada Windows 2000 Server atau pun Distribusi Linux seperti Mandrake, Debian Suse atau pun RedHat.

Diandaikan syarikat ini mahukan setiap komputer mempunyai perisian pejabat dan fail-fail boleh dikongsikan diantara satu sama lain di dalam rangkaian. Perbandingan ini tidak termasuk harga pembelian perkakas dan setiap komputer dan rangkaian perkakasnya telah dipasang, dijalankan dan diuji dengan baik.

Dalam perbandingan ini harga bagi perisian Microsoft telah didapati daripada Internet melalui laman http://www.hardwarezone.com/. Adalah diandaikan pengguna ini akan mendapatkan perisiannya daripada orang ke tiga bukan secara terus daripada Microsoft. Dalam perbandingan ini diandaikan Distribusi Linux adalah Linux Mandrake atau pun Redhat dimana ia boleh didapati di laman http://www.iusahawan.com/ dengan harga RM15 satu set yang mempunyai 3 CD. Sebut harga adalah dirujuk pada 1 April 2003.

Dalam perbandingan ini, diandaikan tiada (NO) bayaran pakar dimasukkan untuk belanjawan Micorsoft. Dengan konsep GUI dan mesra pengguna, diandaikan pengguna akan memasang semuanya (pelayan laman dan DNS) sendiri dan juga menentukan "setting" untuk rangkaian "server" dan "work station". (Satu perkara yang jarang dilakukan oleh pengguna miskipun untuk perisian Micorsoft). Adalah satu kebiasaan komputer yang dibeli sudah dipasang dengan sistem operasi milik Microsoft.

Dalam perbandingan ini, Distribusi Linux diandaikan akan dipasang dan ditentukan "setting"nya dengan bantuan kumpulan pakar yang mengenakan bayaran tertentu. Ingin diingatkan harga yang disebutkan ini adalah berbeza bagi setiap individu dan kumpulan pakar. Anggaplah harga yang dinyatakan disini sebagai harga dasar oleh saya sebagai pakar bebas (freelance), yang tidak melibatkan syarikat hanya individu yang menjalankan kerja-kerja pakar bebas (freelance) separuh masa. Harga yang dinyatakan disini adalah untuk rangkaian kecil dan sederhana.

Diandaikan juga keluaran Microsoft tidak menyediakan kursus latihan kepada sokongan teknikal. Perkara tanpa bantuan pakar dan tiada kursus akan dinyatakan selepas ini. Kursus latihan disediakan oleh pakar bebas Linux bertujuan untuk memperkenalkan Distribusi Linux yang mungkin baru untuk pengguna komputer dan Internet Malaysia.

Perisian Microsoft

Untuk "Work Station" akan dipasang dengan Microsoft Window XP Pro. 9 unit dengan RM520 setiap satu. Dengan jumlah semuanya RM 4680

Untuk "Server" akan dipasang dengan Microsoft Windows 2000 Server + 5 CAL dengan kos RM 2540

Untuk "Perisian Pejabat" setiap 9 unit komputer dengan XP akan dilengkap dengan Microsoft Office XP pro, RM1799 setiap satu dengan jumlah kos RM 16191

Jumlah keseluruhan RM 23411

Andaian ini tanpa harga W2K Advanced Server (Sekitar RM15000) dan lesen untuk Microsoft Exchange server dan Internet web proxy. Ini juga tidak termasuk harga dan kos kumpulan pakar dan penghantaran kursus latihan. Jumlah keseluruhan perlu ditambah lagi.

Distribusi Linux

Kos yang dikenakan adalah untuk pembelian CD RM15. Harga dibawah ini adalah bayaran perkhidmatan pakar bebas (freelance).

Untuk "Work Station" akan dipasang dengan Distribusi Linux (Work Station) 9 unit dengan RM100 setiap satu. Dengan jumlah semuanya RM 900.

Untuk "Server" akan dipasang dengan Distrbusi Linux pilihan, dimana kos-kos kumpulan pakar bebas dibahagikan berdasarkan "setting" bagi setiap perisian untuk server

Pemasangan RM 100
Web server (Apache) RM 500
DNS (bind) RM 500
SAMBA http://www.samba.org/ RM 500
Firewall RM 500
Squid (Internet web proxy server) RM 500
Lain-lain seperti SSH dan NFS RM 500
Email Server RM 500
Jumlah RM 3600


Semua perisian dalam distribusi Linux adalah dengan lesen penggunaan percuma. Ini termasuk Open Office yang menggantikan Microsoft Office dan pelbagai lagi perisian yang melebihi 5000 jenis.

Kursus latihan adalah untuk kumpulan teknikal dengan harga RM100 sejam, 8 jam sehari selama 5 hari, yang berjumlah RM 4000. Jumlah peserta sehingga sepuluh orang.

Jumlah keseluruhan RM 8515..

Perbezaan harga RM 23411


Perkara yang anda perlu tahu :-

(1) Jika anda masukkan kos latihan perisian Microsoft, sila andaikan kos latihan adalah sama dengan kos latihan Linux.

(2) Sebenarnya adalah sukar untuk pengguna komputer untuk "setting" DNS, Web server dan pelbagai perisian dalam Windows 2000 server tanpa bantuan pakar. Anda perlu juga masukkan kos kumpulan pakar jika anda memerlukannya.

(3) Jika anda mengambil keputusan untuk menggunakan Linux dan masih belum membeli perkakas, sila pastikan kos sistem operasi Microsoft  tidak dimasukkan dengan kos perkakas. Pastikan tiada sistem operasi telah dipasang. Anda boleh meminta perkakas komputer  dipasang dengan Distribusi Linux pilihan anda dan hanya membayar upah pemasangan.

(4) Anda boleh jimatkan lagi kos Distribusi Linux jika anda hantarkan dahulu pakar komputer menyertai kursus latihan teknikal Linux.

(5) Bahaya bagi sesebuah pejabat syarikat kecil jika diserbu jika ada aduan penggunaan perisian cetak rompak. Komputer anda boleh dirampas.

(6) Jika anda belum bersedia untuk tukarkan sistem operasi kepada Linux. Anda masih boleh gunakan Open Office untuk gantikan perisian pejabat anda, versi untuk sistem operasi Microsoft

Diharapkan muka laman ini adalah sebagai panduan asas sahaja dan rujukan peribadi. Perubahan harga boleh berlaku bila-bila masa. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada linuxmalaysia@yahooXX.com . Sila buangkan XX untuk dapatkan alamat benar. Ini untuk lindungan daripada SPAM bot.

Kenapa dan mengapa anda perlu gunakan Linux boleh anda dapati jawapannya di http://linuxmalaysia.tripod.com/ . Moga panduan ini membantu dalam anda membuat keputusan untuk menggunakan Linux. Sistem Operasi Masa Hadapan.

Wassalam.

Harisfazillah Jamel
Malaysia Linux

Laman ini dibina dengan Mozilla Composer. Sebuah lagi perisian sumber terbuka dengan lesen penggunaan percuma.