Make your own free website on Tripod.com

Bagaimana Kemampuan Linux Dan Perisian Sumber Terbuka (PST)?

Satu perbandingan dengan pesaing

Baca mengenai kemampuan Linux berbanding dengan saingannya.

Pelbagai Pilihan Perisian Untuk Satu Penyelesaian

Bersama sumber terbuka anda diberikan pelbagai pilihan perisian. Dengan Linux sebagai sistem operasi yang matang, stabil dan berlesen percuma.

Penyelesaian ini dilengkapkan dengan sokongan pelbagai distribusi Linux yang anda boleh pilih mengikut penyelesaian, keserasian dan cita rasa anda. kepelbagaian ini menjadikan penyelesaian anda tidak terikat dengan lesen yang mahal dan dengan satu syarikat yang mengongkong dan monopoli.

Kepelbagaian distribusi BUKAN bermaksud ketidakseragaman. Kepelbagaian ini menghasilkan saingan yang sihat antara distribusi dalam menghasilkan distribusi yang mempunyai perisian yang stabil dan terkini.

Setiap distribusi telah memastikan anda tidak perlu keliru apa perisian yang sesuai. Setiap pengeluar distribusi telah memastikan perisian telah dipilih sesuai, mengikut piawai dan standard dan ia diuji untuk anda.

Anda pasang, anda pilih dan anda guna. Semudah itu.

Anda boleh memilih pelbagai perisian untuk satu penyelesaian. Sistem operasi sama ada Linux, keluarga BSD dan sistem operasi yang baru HURD. Semuanya mematuhi piawai POSIX Unix.

Penyelesaian pangkalan data (database) sama ada Postgresql atau Mysql. Penyelesaian pelayan email sama ada postfix ataupun sendmail dan pelbagai pilihan perisian sumber terbuka yang matang dan dengan lesen penggunaan yang percuma.

Melalui laman http://www.osdlab.org/ anda boleh melihat sokongan daripada HP, IBM dan Intel dalam melihat perisian sumber terbuka berkembang dalam industri perniagaan.

Modular, Mudah Dipelajari dan Penggunaan Untuk Jangka Panjang

Setiap satu bahagian atau komponen dalam perisian dan sistem operasi Linux tidak bergantung antara satu sama lain. Sebuah perisian boleh dijalankan tanpa perlu anda memasang perisian sampingan yang sudah tentu anda tidak perlukan. Linux berasaskan Unix berbentuk modular.

Dengan meletakkan penggunaan sumber komputer yang optimum untuk mencapai prestasi yang maksimum, anda menggunakan sumber komputer sebaik mungkin tanpa pembaziran.

Intergrasi dan terikat sesuatu komponen atau bahagian sistem operasi atau perisian hanya menyebabkan penggunaan sumber komputer yang tidak munasabah. Hanya satu pembaziran bagi sebuah sistem operasi yang anda ingin gunakan untuk perkongsian fail perlu anda pasangkan "Active Directory" yang juga memerlukan DNS untuk berfungsi.

Hanya dengan SAMBA dalam Linux anda boleh lakukan perkongsian fail dengan penggunaan sumber yang optimum. Malah anda boleh konfigurasi ia dengan nilai maksimum yang pasti anda tidak boleh lakukan dalam sistem operasi saingannya.

Ia umpama membeli kereta dan melengkap kereta itu dengan alatan untuk penjimatan minyak tetapi anda mendapat kuasa enjin tambahan. Yang membezakan, semuanya adalah berlesenkan percuma.

Linux didatangkan dengan pelbagai perisian konfigurasi sama ada daripada "Command Line Interface" (CLI), daripada GUI X-Windows ataupun perisian pelayaran. Anda akan mendapati, menyediakan Linux adalah mudah untuk dipelajari. Jika anda seorang yang berkeyakinan tinggi anda boleh mengubahnya sendiri pada fail konfigurasi.

Pengeluar distribusi Linux pilihan anda, akan menyediakan perisian konfigurasi yang sesuai untuk anda. Anda mahirkannya dengan cepat dan pantas.

Sistem Operasi Semakin Popular, dipercayai Dan Kurang Risiko

Linux adalah sistem operasi yang popular dikalangan pakar mahir IT di seluruh dunia. Para pembangun kod-kodnya yang terdiri mereka yang bijak pandai dalam ICT dan semuanya dilakukan kerana ia adalah sebuah hobi yang diminati dan secara sukarela.

Perkara yang dilakukan dengan sukarela, kerana hobi akan dilakukan dengan sepenuh hati tanpa maksud keuntungan. Mereka hanya mahu lahirkan yang terbaik untuk masyarakat dan komuniti.

Linux juga kian popular. Ia semakin mendapat tempat di hati para pengguna komputer. Konsep perisian sumber terbuka membuka mata memberikan kebaikan kepada komuniti dan masyarakat. Satu perkara yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dan kekayaan di muka bumi.

http://www.opensource.org/

Menjadi sistem operasi yang terlalu popular ada buruknya. Sistem operasi itu akan menjadi pilihan utama untuk mereka yang berniat tidak baik.

Pelbagai virus dan trojan wujud untuk sebuah sistem operasi yang popular. Kelemahan dicari supaya ia mudah dicerobohi. Menjadi popular mendedahkan sesebuah sistem operasi kepada pelbagai risiko pencerobohan dan masalah keselamatan.

Bagaimana anda mahu lindungi data-data anda sedangkan sistem operasi yang terlalu popular menjadi sasaran pelbagai serangan.

Linux dibina daripada awal agar ia tidak mudah untuk dicerobohi malah kerana ia milik umum, setiap pemiliknya akan memastikan Linux sentiasa selamat untuk digunakan.

Sebarang masalah keselamatan yang timbul akan dibangkitkan dengan segera dan para pembangun Linux seluruh dunia akan memastikan masalah itu ditangani secepat mungkin. Adalah tidak mengejutkan penyelesaian masalah keselamatan dalam Linux dapat diselesaikan dalam masa 24 jam dan dengan cepat disebarkan kepada semua distribusi Linux.

Anda dengan segera akan diberitahu dengan Email, laman dan pemberitahuan dengan telefon jika anda berada dalam sistem sokongan rasmi sesebuah syarikat pengedaran distribusi.

Malah anda tidak perlu risau tentang distribusi yang anda pilih. Setiap distribusi akan memilih perisian yang mengikut standard antarabangsa, akan kongsikan kod-kod asal perisian agar jika apa-apa berlaku kepada syarikat yang menghasilkan distribusi, perisian itu akan tetap diteruskan oleh mereka yang berminat.

Laman seperti http://www.sourceforge.org/ memberikan peluang untuk para pembangun untuk membangunkan perisian sumber terbuka mereka dan berkongsikan pengetahuan dan sumber pengetahuan antara satu sama lain.

Sokongan Linux Yang Meluas

Linux dan pelbagai perisian sumber terbuka mempunyai sumber sokongan yang meluas. Sama ada melalui Internet oleh mereka yang secara sukarela memberikan bantuan, nasihat dan tunjuk ajar melalui Internet.

Pelbagai syarikat ICT telah wujud untuk memberikan sokongan kepada Linux malah membantu anda dalam penyelesaian Linux dan perisian sumber terbuka anda.

Malah syarikat-syarikat besar dalam ICT seperti IBM, HP dan SUN mempunyai rangkaian sokongan untuk Linux.

Pertambahan minat pelbagai golongan ICT menambah lagi nilai sokongan terhadap Linux. Semakin ramai yang mula dan mahu mempelajari Linux dan perisian sumber terbuka. Pelbagai kursus wujud untuk mendedahkan tenaga ICT dengan dunia Linux dan perisian sumber terbuka.

Malah kita boleh melihat perkembangan yang sihat di IPTA dan IPTS yang menyerapkan pengajaran tentang Linux dan perisian sumber terbuka dalam mata pelajaran ICT.

Adalah suatu yang tidak mengejutkan tenaga sokongan Linux telah wujud daripada komuniti Unix. Linux dengan ciri-ciri POSIX Unix memudahkan tenaga pakar Unix menyumbang tenaga dalam menyokong Linux dan lain-lain perisian sumber terbuka. Sokongan daripada komuniti Unix yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman merupakan satu batu loncatan yang pasti bagi Linux untuk mewujudkan golongan profesional dan mahir sebagai lapis sokongan yang bertaraf tinggi. Tenaga pakar untuk Linux memang sedia ada untuk memberikan sokongan.

Penerimaan kerajaan, yang juga mahu melihat sumber terbuka turut berkembang bagi mewujudkan satu pilihan alternatif kepada penyelesaian yang sedia ada. Kakitangan sokongan ICT dalam kerajaan diberikan pendedahan dan latihan dalam dunia Linux dan perisian sumber terbuka.

Ia umpama pemangkin yang menjanakan minat untuk mewujudkan ramai lagi tenaga sokongan Linux dan perisian sumber terbuka.

Sebagai permulaan anda boleh melawat laman

http://www.bincang.net/ dan http://www.ittutor.net/

untuk sebarang pertanyaan Linux dan perisian sumber terbuka. Bagi anda untuk melihat forum dan diskusi luar negeri

http://www.unix.com/

Mengikut Perubahan Teknologi Terkini

Linux dan perisian sumber terbuka mengikut perkembangan terkini dalam dunia teknologi tetapi dengan batas tertentu.

Kita sedia maklum perkembangan teknologi berkembang dengan cepat dan suatu yang baru di dalam teknologi akan berubah dengan cepat dan ini adakala menyukarkan penentuan standard dan piawai.

Linux dan perisian sumber terbuka memilih mengikut standard yang sudah diterima pakai secara meluas. Ia mahu memastikan bahawa kualiti tetap terjaga tanpa membebankan perisian sumber terbuka dengan kod-kod suatu teknologi yang belum tentu bersedia untuk diterima dengan meluas.

Bagi Linux dan pergerakan sumber terbuka, yang penting adalah kualiti, perisian yang stabil dan tidak dibebani dengan bug dan ralat.

Anda sudah tentu lebih yakin dengan perisian yang lebih berkualiti, kod-kod yang dijaga dengan rapi agar mutu dan standard tidak diabaikan, tidak seperti sistem operasi saingannya yang hanya mahu mengikut perkembangan terkini yang belum tentu akan berpanjang. Kita sudah belajar melalui sejarah. Sesebuah teknologi hanya akan berkembang apabila ramai yang menggunakannya.

Suatu teknologi yang digembar-gemburkan belum tentu lagi mencapai maksudnya dan Linux dan perisian sumber terbuka hanya mahu melihat hanya teknologi yang terbukti sahaja diberikan kepada penggunaannya.

Penutup

Linux dan perisian sumber terbuka terus berkembang dengan pesat dan mampu memberikan penyelesaian yang anda mahukan kepada masalah anda.

Diharapkan anda mencuba dahulu Linux dan perisian sumber terbuka sebelum anda membuat sebarang andaian melalui bahan bacaan saingan Linux dan perisian sumber terbuka.

Rujukan Lain

Tentang Linux
http://www.linux.org/

Perkembangan terkini Linux di
http://www.linux.com/

Why Open Source Software / Free Software (OSS/FS)?
Look At The Numbers
http://www.dwheeler.com/oss_fs_why.html

Mengapa Linux?
http://www.geocities.com/lovhafnie/nota/mengapalinux.html

SIG Linux - Pertubuhan Pakar ICT Malaysia
http://www.mysig.org.my/

Linux Malaysia
http://linuxmalaysia.cjb.net/
http://linuxmalaysia.isCool.net/

Saya dan Linux
http://www.geocities.com/lovhafnie/blinux.html

Kempen Peningkatan Sokongan Komputer Dan Internet Malaysia
http://kemsoit.cjb.net/

Lain-lain nota
http://www.geocities.com/lovhafnie/nota/

Rujukan Vendor Untuk Linux
http://www.ibm.com/linux
http://linux.hp.com/
http://opensource.hp.com/
http://wwws.sun.com/software/linux/

Mendapatkan CD Linux
http://kedai.ittutor.net/
http://malaysia.freelinuxcd.org/


Wassalam.

Harisfazillah Jamel
Bukan Sekadar Internet Sahaja.
http://harisfazillah.cjb.net/

Kembali Ke Laman Utama [ Home ]

Laman  ini  Di  Internet
http://www.geocities.com/lovhafnie/nota/bandingan.html
http://linuxmalaysia.tripod.com/bandingan.html